571 mediator berjaya ditauliah, beri khidmat percuma di lapan pusat mediasi komuniti

571 mediator berjaya ditauliah, beri khidmat percuma di lapan pusat mediasi komuniti

HASNOL Zam Zam Ahmad pada majlis perasmian PMK Putrajaya di Kuarters Perumahan Penjawat Awam 5R1. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 571 mediator komuniti berjaya ditauliahkan dan memberi khidmat secara sukarela tanpa sebarang bayaran di lapan Pusat Mediasi Komuniti (PMK) yang beroperasi di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 33 mediator komuniti akan ditempatkan di PMK Putrajaya untuk memberikan perkhidmatan kepada warga komuniti di kawasan tersebut.

Menurut beliau, penubuhan PMK Putrajaya adalah bukti komitmen kementerian dalam membina masyarakat yang harmoni, toleransi dan bersatu padu.

“Inisiatif mediasi amat penting dalam menjaga hubungan sesama komuniti, khususnya dalam masyarakat yang pelbagai kaum dan budaya seperti Malaysia.

“Peranan mediator yang profesional dan berkecuali akan membantu mengelakkan perselisihan kecil daripada menjadi konflik besar yang boleh mengancam keharmonian komuniti,” katanya pada majlis perasmian PMK Putrajaya di Kuarters Perumahan Penjawat Awam 5R1 di sini hari ini.

Terdapat tiga kategori PMK yang diusahakan oleh kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di peringkat negeri, daerah dan komuniti melalui premis atau bangunan sedia ada seperti di Pejabat Perpaduan Negeri, Kompleks Perpaduan, Pusat Aktiviti Perpaduan di daerah dan Pusat Rukun Tetangga.

Antara kes yang dikendalikan termasuklah masalah kejiranan, hubungan kekeluargaan, tanah, alam sekitar, kepenggunaan, kesihatan (kecuaian), kontrak dan perjanjian, harta intelek, pembinaan dan kejuruteraan serta isu agama.

Mengulas lanjut, Hasnol berkata, penubuhan PMK Putrajaya adalah satu testimoni untuk menyelesaikan konflik secara aman dan berhemah bertujuan menyelesaikan perselisihan atau konflik antara individu atau kumpulan dalam komuniti tanpa perlu melalui proses undang-undang yang formal dan panjang.

Jelas beliau, mediasi merupakan proses yang lebih cepat, berkesan dan melibatkan perbincangan dua hala.

“Selain itu, ia juga mewujudkan Ruang Dialog yang berfungsi sebagai ruang fizikal di mana pihak-pihak yang terlibat dalam perselisihan boleh berdialog secara terbuka dengan bantuan mediator yang berkecuali untuk mencari penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak.

“Proses mediasi turut membantu mendidik masyarakat tentang pentingnya sikap toleransi dan persefahaman dalam menyelesaikan isu-isu yang mungkin timbul akibat perbezaan pandangan, budaya atau kepercayaan,” ujarnya

Katanya lagi, penubuhan PMK turut membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh sistem kehakiman negara, terutama bagi kes-kes kecil atau pertikaian yang boleh diselesaikan secara damai selain berupaya memberi sokongan psikososial kepada individu atau keluarga yang terlibat dalam pertikaian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya