ISKANDAR PUTERI – Pelaksanaan program ‘Trash To Cash’ merekodkan sebanyak 51.43 juta kilogram barang kitar semula dengan nilai jualan keseluruhan RM18.3 juta, dari Mac 2020 hingga bulan lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat untuk melaksanakan aktiviti kitar semula makin mendapat sambutan.
Katanya, fokus dalam memperkasa budaya kitar semula ini tidak disasarkan kepada aktiviti Trash To Cash semata-mata tetapi turut diperluas dengan memperkenalkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC).
“Inisiatif penyediaan DTRC adalah seiring dengan hala tuju Dasar Kebersihan Negara untuk memudahkan masyarakat menghantar barangan kitar semula yang telah diasingkan.
“Ini seterusnya menggalakkan orang ramai membudayakan amalan kitar semula bagi menyumbang kepada peningkatan Kadar Kitar Semula Kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Bersamamu Johor di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Aiman Athirah turut melancarkan Bandar Bersih Johor 2030 serta menandatangani kerjasama pintar sebagai simbolik komitmen antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam merealisasikan program bandar bersih.
Kelmarin, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk mewujudkan DTRC di semua pusat membeli-belah seluruh negara bagi memperluas kemudahan itu kepada rakyat. – UTUSAN