BAGAN SERAI: Ikan temenung lemak yang dijual dengan harga 30 sen seekor menjadi tumpuan pada Jualan Rahmah di pekarangan Masjid Matang Gerdu di sini kelmarin.
Peniaga ikan, Haris Hanis, 21, berkata, dia tidak menyangka jualan ikan temenung lemak pada harga 30 sen seekor mendapat sambutan amat menggalakkan.
Menurutnya, mereka tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke gerai jualan.
“Ini merupakan kali pertama kami buat jualan ikan temenung pada harga 30 sen seekor sempena Jualan Rahmah di Bagan Serai setelah dijemput oleh peniaga utama untuk menyertai jualan ini bagi mempelbagaikan barang keperluan harian untuk penduduk setempat,” katanya.
Menurut Haris, ikan temenung lemak yang dibawa dalam Jualan Rahmah ini adalah sebanyak 500 kilogram.
Katanya, pada awalnya dia menyangka jualan pada harga tersebut tidak mendapat sambutan lalu dia hanya membawa 500 kilogram ikan dalam jualan tersebut.
Jelasnya, dia terkejut kerana tidak sampai dua jam ikan temenung lemak 30 sen seekor habis dibeli dan yang tinggal hanya udang yang dijual pada harga RM15 sekilogram.
“Saya mengambil stok bekalan dari pelbagai tempat dan mengambil inisiatif menjual pada harga yang murah bagi meringankan beban pembeli.
“Dengan menjual ikan dengan harga yang rendah ini, setidak-tidaknya dapat membantu golongan berpendapatan rendah di kawasan ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Intan Nursyatika Mohd Hamim, 29, berkata, kebanyakan pembeli yang datang ke Jualan Rahmah majoritinya golongan berpendapatan rendah.
Katanya, banyak barangan keperluan harian dijual di bawah harga pasaran dalam Jualan Rahmah. – UTUSAN