SHAH ALAM: Bentuk muka bumi dan cuaca menjadi cabaran utama pasukan No.5 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pengkalan Udara Labuan ketika menjalankan misi Operasi (Ops) Murni di Filipina sepanjang 7 hari bermula 26 Oktober hingga 2 November lalu.
Seramai 16 pegawai dan anggota TUDM terdiri daripada tiga juruterbang, seorang pembantu, seorang pegawai kejuruteraan, dua kuartermaster dara, lima juruteknik pesawat dan empat anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU) terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Filipina.
Ketua misi atau detasmen komander, Mejar Thaddaeus Raphael Aziz @ Sait berkata, pihaknya ibarat berlumba dengan waktu dalam misi memastikan barangan bantuan seperti bekalan makanan dan pelbagai kelengkapan lain dapat dihantar kepada mangsa-mangsa bencana di Filipina.
Menurutnya, kesemua 16 sepasukan itu ditugaskan untuk membawa bekalan dari Pangkalan Udara Villamor di Passay City ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol dan Lapangan Terbang Naga, di Bandar Pili.
“Penghantaran cuaca pada waktu pagi agak baik, cuma mula bertiup kencang pada waktu petang dan hujan pada waktu malam. Jadi, kami pada waktu pagi dan petang sahaja terbang, malam tiada penerbangan.
“Kita berdepan dengan environment, keadaan muka bumi memang sangat berbeza dengan Malaysia, keadaannya seperti banyak pulau dan bergunung, menyukarkan pesawat untuk mendarat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Kepada Pegawai dan Anggota TUDM yang terlibat dalam Misi HADR di Filipina, hari ini.
Tambahnya, helikopter EC725 jenis yang digunakan dalam misi tersebut berkeupayaan serta dapat menjalankan misi dengan baik dan berkesan.
Terdahulu Filipina dilanda Taufan Tropika Kristine yang juga dikenali sebagai Trami pada bulan lalu menyebabkan negara tersebut dilanda bencana banjir besar serta tanah runtuh di beebrapa wilayah di negara itu.
Dalam pada itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan memberitahu beliau berasa bangga dengan kemampuan TUDM yang dapat melaksanakan misi tersebut walaupun berdepan cabaran cuaca buruk sepanjang berada di sana.
“Saya berbangga dengan pencapaian yang dilaksanakan oleh Lima Skuadron iaitu skuadron helikopter dan juga kesemua pegawai dan anggota yang terlibat. Pesawat EC725 yang kita hantar berkeupayaan untuk melaksanakan tugas dan pesawat lengkap untuk menjalankan misi tersebut.
“Bantuan adalah daripada Kerajaan Filipina, jadi mereka yang menyediakan semua peralatan dan kelengkapan yang perlu di hantar ke kawasan bencana, jadi tugas kita adalah untuk menghantar kesemua barang tersebut,” jelasnya.
Katanya lagi, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana menentukan pesawat dan keupayaannya berada dengan TUDM sehingga pasukan berkenaan dapat melaksanakan tugas dengan selamat dan berkesan. – UTUSAN