KUALA LUMPUR: Seramai 45 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota dan pegawai itu ditahan atas kesalahan disyaki menerima suapan serta salah guna kuasa.
“Daripada jumlah itu, seramai 27 pegawai dan anggota telah didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan yang mana 13 individu disabitkan kesalahan.
“Bagi tempoh berkenaan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman membuka sebanyak 1,557 Kertas Siasatan Tatatertib dan 1,118 Kertas Enkuiri tatatertib terhadap anggota dan pegawai yang disyaki melanggar peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan di Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah PDRM sempena Hari Integriti peringkat pasukan berkenaan di Bukit Aman di sini hari ini.
Ayob Khan turut mengingatkan barisan kepemimpinan pasukan berkenaan di semua peringkat untuk mengambil tindakan tegas ke atas semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah serta salah guna kuasa tanpa mengira pangkat dan jawatan.
“Jangan kita sebagai pemimpin hanya mengambil tindakan ke atas pegawai polis berpangkat rendah sahaja manakala tiada tindakan diambil terhadap pegawai polis berpangkat tinggi.
“Jangan ada amalan dwi standard dalam mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam salah laku,” katanya. – UTUSAN