ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 4,378 mangsa daripada 1,432 keluarga dilaporkan terjejas sehingga pagi ini.
Mereka merupakan penduduk di lima daerah yang terlibat iaitu 1,708 mangsa di Kubang Pasu; Padang Terap (1,145); Kota Setar (735); Pokok Sena (429) dan Sik (361).
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah memaklumkan, kesemua mangsa terbabit kini ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan sejak kelmarin.
Difahamkan, beberapa kawasan masih menunjukkan trend peningkatan ekoran cuaca yang terus hujan sehingga kini. – UTUSAN