42 isu tadbir urus Nafas sejak 2018

42 isu tadbir urus Nafas sejak 2018

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 42 isu tadbir urus dan tatakelola dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dikenal pasti melalui Laporan Pengauditan Khas pada 2018.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Nafas telah diberikan kontrak pembekalan baja secara runding terus bermula tahun 1979. 

Beliau berkata, Nafas mempunyai 16 syarikat subsidiari dan daripada jumlah tersebut, hanya empat syarikat subsidiari yang berkaitan kontrak baja yang mencatatkan keuntungan. 

“Ini menjejaskan peranan Nafas untuk berfungsi sebagai pertubuhan yang memajukan kepentingan ekonomi dan sosial atau kebajikan anggotanya

“Berdasarkan Laporan Pengauditan Khas Tahun 2018 oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang, terdapat 42 isu tadbir urus dan tatakelola ditemukan yang perlu kepada tindakan dan penambahbaikan. 

“Namun tindakan penambahbaikan tidak dapat dilaksanakan akibat peralihan Kerajaan pada ketika itu,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-BAYAN BARU) yang meminta penjelasan berkaitan kontroversi yang berlaku dalam Nafas dan  apakah hala tuju Kementerian dalam menstruktur semula Nafas.

Mohamad berkata, ketika ini Nafas ditadbir oleh Pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar yang tertakluk kepada arahan daripada Pendaftar.

Beliau berkata, pada masa yang sama, Pendaftar juga telah melantik Majlis Penasihat bagi menasihati Pendaftar dan Pentadbir berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109].

“Laporan pihak Pendaftar Pertubuhan Peladang sepanjang tempoh penggantungan perlembagaan Nafas akan dilaporkan terus kepada Jemaah Menteri dari semasa ke semasa.

“Operasi, obligasi dan kewajipan Nafas kepada mana-mana pihak ketiga adalah tidak terjejas dan akan dilaksanakan serta diteruskan oleh Pentadbir. 

“Bagi urusan perniagaan Nafas yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia langsung tidak terjejas dan berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa Pentadbir Nafas,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian Nafas 

“Di samping menambah baik tadbir urus dan tatakelola Nafas bagi memperkasa semula Nafas secara holistik.

“Ini untuk memastikan Nafas beroperasi mengikut hala tuju dan spirit penubuhan Nafas selaras dengan perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya