BENTONG: Kerajaan Pahang memandang serius aktiviti pencerobohan tanah secara haram milik kerajaan negeri yang dikesan berlaku di kawasan Sungai Perdak, Mukim Sabai di daerah ini.
Dianggarkan, kira-kira 404 hektar tanah kerajaan diceroboh serta terletak di kawasan tersorok dan tersepit di antara kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Lentang Tambahan dan betul-betul bersempadanan dengan tanah Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kawasan tersebut ditanam dengan pokok durian.
“Sebagai langkah tegas, saya sudah mengarahkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.
“UPNP sudah pun melakukan serbuan ke kawasan terbabit hari ini dan menyita rumah pekerja serta peralatan yang ditemui. Saya juga mengarahkan agar pokok durian yang ditanam di atas tanah kerajaan dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku.
“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara (Akta 828). Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanah dan mencemarkan integriti sumber alam negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, aktiviti pencerobohan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga boleh memberikan impak buruk kepada alam sekitar dan komuniti setempat.
“Saya ingin menegaskan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penerokaan tanah secara haram akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Kerajaan negeri akan memastikan semua tanah milik kerajaan dipelihara demi kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penerokaan haram amatlah dihargai.
“Sama-sama kita memastikan Pahang terus terpelihara dan bebas daripada aktiviti pencerobohan yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN