38,500 liter diesel bernilai RM1 juta dirampas

38,500 liter diesel bernilai RM1 juta dirampas

SAHARUDDIN Mohd. Kia (tengah) melihat lori tangki dan tangki skid yang dirampas dalam satu serbuan di tapak Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu, Kampung Mangkuk, Setiu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya merampas 38,500 liter diesel dalam Ops Gempur di tapak Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di Kampung Mangkuk di sini, semalam. 

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, hasil pemeriksaan, sebanyak 23,000 liter diesel ditemukan di dalam lori tangki dan 15,000 liter lagi di dalam tangki skid yang melanggar syarat permit di tapak projek berkenaan. 

Menurutnya, nilai keseluruhan diesel dirampas adalah RM982,035.

Katanya, serbuan pukul 6 petang itu melibatkan 12 pegawai penguat kuasa KPDN dan 11 pegawai polis berdasarkan risikan selama dua minggu. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati syarikat terbabit yang mengendalikan projek di tapak tersebut mempunyai permit yang sah daripada pengawal bekalan untuk menyimpan minyak diesel.

“Namun, hasil semakan permit berkenaan mendapati tempat simpanan diesel itu bukan beralamat di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati syarikat itu hanya dibenarkan mempunyai bekalan sebanyak 18,000 liter diesel pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di Tapak Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di Kampung Mangkuk di sini, hari ini. 

Pemegang permit disyaki telah memindahkan barangan kawalan itu dari tempat yang dilesenkan kepada lokasi tidak berlesen tanpa kebenaran pengawal bekalan. 

Selain itu, pemegang permit juga disyaki mempunyai milikan minyak diesel yang melebihi had kuantiti yang dibenarkan.

Susulan itu, dua lelaki warga tempatan iaitu pengurus tapak projek dan pemandu berusia 35 dan 36 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya