SHAH ALAM: Sebanyak 374 kawasan cerun di Ampang dikenal pasti perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri untuk melakukan pencegahan atau mitigasi terhadap risiko kejadian tanah runtuh.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah kawasan tersebut disahkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan bertanya sekiranya kerajaan negeri bersedia untuk mempamerkannya kepada awam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada pertengahan Oktober lalu menyatakan terdapat 400 hingga 600 lokasi panas (hotspot) cerun sepanjang kawasan batu kapur dari Hulu Kelang hingga Gombak.
“Apakah kerajaan negeri bersedia untuk mempamerkan pelan bahaya dan risiko cerun untuk kepentingan awam khususnya di kawasan tanah tinggi dan berisiko tinggi?
“Kedua, apakah komitmen kerajaan untuk memasang Robotic Total Station (RTS) untuk memantau pergerakan permukaan cerun di 374 hotspot yang dikenal pasti oleh MPAJ,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, hari ini.
Exco Pertanian dan Infrastruktur, Izham Hashim memberitahu, kerajaan negeri sedang mempertimbang dua pandangan berhubung keperluan mempamerkan kawasan berisiko kepada umum termasuk meneliti risiko spekulasi yang boleh mempengaruhi nilai hartanah di sana.
“Itu antara perkara yang dibuat, tetapi dalam masa sama kita tak boleh mengabaikan keperluan untuk memaklumkan kepada rakyat bahawa tempat itu amat bahaya.
“Kedua-dua itu kita akan tengok sama ada kita akan pamerkan secara menyeluruh atau berperingkat-peringkat. Kita sudah bincang tentang perkara itu, cuma kita belum buat keputusan lagi berkenaan cara untuk dipamerkan kepada awam,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan negeri buka sahaja mempunyai Plan Hazard and Risk Map, tetapi inventori lengkap terutama di daerah yang bertanah tinggi iaitu di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, termasuk sebahagian kecil di Sepang dan Petaling. – UTUSAN