PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) melantik 37 syarikat pelancongan tempatan, termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services San Bhd (THTS) sebagai Pengelola Jemaah Haj (PJH) bagi Musim Haji 1446H/2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, berbanding musim lalu, jumlah PJH itu meningkat berbanding 25 syarikat PJH pada musim lalu.
Katanya, ini menunjukkan komitmen TH dalam memberi peluang kepada syarikat pelancongan tempatan yang memenuhi syarat dan kriteria bagi mengelola jemaah haji negara.
“Berdasarkan proses pemilihan, penilaian dan semakan yang dilakukan, saya yakin syarikat-syarikat PJH yang terpilih ini memiliki kapasiti yang teguh, kepakaran dan pengalamanmencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia.
“Mana-mana syarikat pelancongan yang berminat untuk mengelolakan jemaah haji, mereka boleh memohon lesen melalui Sistem Agensi Haji yang boleh dicapai di laman web TH,” katanya pada Majlis Serahan Lesen Pengelola Jemaah Haji Musim 1446H hari ini.
Bagi memudahkan urusan haji, Mohd. Na’im berkata, TH juga melancarkan Sistem Agensi Haji iaitu sistem digital memudahkan permohonan, penilaian dan pemantauan perkhidmatan yang disediakan oleh PJH.
“Sistem ini dijangka meningkatkan kualiti perkhidmatan, mempercepatkan proses dan memudahkan pengawasan perkhidmatan sepanjang musim haji.
“Melalui inisiatif digital ini, kami percaya bahawa sistem ini akan memberikan kemudahan kepada pengurusan TH dan syarikat-syarikat PJH untuk mendapat akses kepada maklumat bagi memastikan ketelusan dalam operasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua PJH pada musim depan untuk terus menawarkan pakej ekonomi bernilai bawah RM50,000 sebagai inisiatif bagi membantu lebih ramai bakal jemaah untuk menunaikan ibadah berkenaan.
Tambah Mohd. Na’im, kerajaan akan terus memantau dan menangani isu penipuan pakej haji dan umrah yang sering menjadi isu hangat setiap tahun.
“Orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan tidak mahu kes yang sama berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini di mana ada jemaah haji terkandas akibat ditipu oleh syarikat tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan pakej haji,” jelasnya.
Mohd. Na’im turut memaklumkan, surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah akan mula dikeluarkan tidak lama lagi. – UTUSAN