KUALA LUMPUR: Sejumlah 33,319 unit atau 5.11 peratus kenderaan penumpang dan perdagangan jenis berkuasa elektrik dijual setakat tahun ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, bagi jumlah petak pengecas yang dipasang pula berjumlah 3,354 setakat 31 Oktober lalu.
“Jumlah itu hasil daripada penggalakan industri automotif agar giat meneruskan peralihan kepada industri pembuatan yang lebih hijau.
“Misi “Push for Net Zero” di bawah polisi National Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) bertujuan untuk menyahkarbonkan industri Malaysia melalui pelaksanaan kecekapan tenaga dan pembinaan kenderaan elektrik buatan tempatan.
“Diharapkan dengan inisiatif-inisiatif Kerajaan ini, matlamat untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan akan tercapai,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan langkah-langkah kerajaan menggalakkan para pemain industri tempatan untuk mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik bagi memenuhi permintaan tempatan terhadap kenderaan elektrik bagi mencapai sasaran SDG 2030.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menggalakkan syarikat tempatan mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik bagi menyokong halatuju pembangunan industri automotif tempatan.
Jelasnya, antara inisiatif-inisiatif berkaitan fiskal yang ditawarkan oleh kerajaan merangkumi pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais untuk EV jenis CBU import sehingga 31 Disember 2025 serta pengecualian sepenuhnya duti import, eksais dan cukai jualan untuk EV yang dikeluarkan dalam negara sehingga 31 Disember 2027.
“Selain itu, pengecualian cukai pendapatan (Income Tax Allowance (ITA) / Pioneer Status (PS)) untuk syarikat pengeluar kenderaan cekap tenaga (Energy Efficiency Vehicle – EEV) termasuk EV dan komponen kritikal berkaitan.
“Pada masa sama, kerajaan beri pengecualian cukai jalan bagi pengguna EV sehingga 31 Disember 2025 serta pemberian Green Investment Tax Allowance (GITA) kepada Charging Point Operator (CPO) yang memenuhi kriteria galakan cukai untuk pengecualian cukai dalam bentuk Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima tahun.
“Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun kepada syarikat-syarikat pengeluar EV Charging Equipment mulai 2023 hingga 2032; dan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 bagi pemasangan atau langganan kemudahan pengecasan EV di rumah untuk tahun taksiran sehingga 2027,” katanya. – UTUSAN