PUTRAJAYA: Seramai 3,200 pegawai perubatan, 350 pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi yang memohon lantikan kontrak (interim) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilantik secara tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 21 Oktober lalu.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, mana-mana calon yang berhasrat membuat rayuan pertukaran penempatan boleh dibuat menerusi Google Form yang disediakan dalam sistem e-Placement.
Katanya, permohonan itu boleh dibuat dari 5 hingga 11 November ini bagi pegawai perubatan, manakala untuk pegawai pergigian dan pegawai farmasi dipanjangkan sehingga 15 November.
“Hanya rayuan yang dikemukakan menerusi Google Form dalam tempoh ditetapkan sahaja akan dibawa untuk pertimbangan oleh
Jawatankuasa Rayuan Penempatan.
“Keputusan rayuan akan dimaklumkan kepada calon menerusi portal Semakan Kerjaya KKM pada 2 Disember depan,” katanya hari ini.
Menurut KKM, aspek rayuan yang akan dipertimbangkan adalah calon yang sedang mengikuti pengajian kepakaran yang diluluskan oleh KKM.
Selain itu ialah calon, pasangan atau anak menghidap masalah kesihatan yang serius (disokong laporan perubatan); dan permohonan suka sama suka yang dikemukakan oleh mana-mana calon.
“Urusan penempatan calon ke fasiliti akan dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mulai 23 Disember depan.
“Tarikh pelantikan tetap calon adalah mengikut tarikh kuat kuasa melapor diri bertugas iaitu 30 Disember depan atau tarikh baharu yang diluluskan oleh Ketua Jabatan sekiranya memohon penangguhan lapor diri bertugas,” katanya.