AMPANG: Kawasan letak kenderaan di Jalan Maju 1/14, Lembah Maju, Pandan Indah di sini ditutup bagi kerja-kerja membaiki kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.
Ahli Dewan Negeri Negeri (Adun) Teratai, Yew Jia Haur berkata, kejadian tersebut berlaku di lokasi kawasan tebing sama yang runtuh pada 12 Oktober lalu.
“Pihak Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) melalui pihak kontraktor dilantik akan melaksanakan kerja membaik pulih tebing berkenaan yang akan bermula hari ini.
“Setakat ini pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) sedang mengusahakan pembahagian bekalan air untuk 300 pemegang akaun sekitar Lembah Maju ekoran terdapat gangguan bekalan air selepas insiden tanah runtuh.
“Air Selangor akan sediakan enam tangki statik dan lori-lori tangki air diminta bersedia untuk membantu penduduk,” katanya ketika sidang media, di sini hari ini.
Menurut beliau, kawasan itu kini dihadang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selepas insiden pertama berlaku namun apa penduduk tidak bertanggungjawab membuka hadangan itu.
Dalam kejadian tanah runtuh pada 12 Oktober lalu, sebuah kereta terjunam di situ. – UTUSAN