PETALING JAYA: Perbezaan agama dipercayai punca wanita warga emas dibunuh anaknya sejak tiga tahun lalu di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG di sini.
Difahamkan, wanita berusia 80-an itu dipercayai dipukul sehingga mati di rumah teres dua tingkat itu yang didiami lelaki terbabit pada Mac 2021.
Suspek berusia 50-an, dipercayai menyembunyikan mayat dalam peti ais sejuk beku yang diletakkan di ruang tamu kediaman terbabit.
Bagaimanapun, suspek kini mempunyai kesihatan kronik dipercayai strok dan bertindak mengaku perbuatan kejamnya itu dengan membuat laporan polis pagi semalam.
Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields bergegas ke lokasi kejadian pada 9 pagi dan menemukan mayat tersebut.
Suspek dipercayai ditahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan reman terhadapnya akan dipohon di hospital berkenaan, esok.
Dalam pada itu, jirannya yang enggan dikenali tidak menyangka suspek bertindak sedemikian terhadap wanita berkenaan yang kali terakhir dilihat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita sangka ibunya balik ke rumah dia kerana sudah lama tak jumpa. Anaknya (suspek) selalu bertegur-sapa walaupun agak pendiam dan tidak campur dengan orang,” ujarnya.
Sementara itu, polis mengesahkan telah menahan suspek untuk siasatan kes pembunuhan ibunya di sebuah kediaman di Taman OUG, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, suspek warga tempatan berusia 53 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN