PETALING JAYA: Sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 minggu lalu berkata, pajakan helikopter-helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, perolehan aset itu dibuat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Jabatan Perdana Menteri.
“Ini (kaedah perolehan) merupakan kali pertama dibuat dan dilaksanakan UKAS JPM. Perolehan ini melibatkan kontrak bernilai RM16 billion untuk tempoh sewaan selama 15 tahun.”
“Ia akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada ATM tetapi juga kepada agensi-agensi keselamatan negara yang lain,” katanya baru-baru ini.
Dengan termeterainya kontrak tersebut, sebanyak 12 buah akan digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) (7); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (2); Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) (2) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) (4).
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan menyerahkan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat yang sebelum ini memenangi tender sewaan berkenaan.
Mohamed Khaled, berkata tindakan itu selepas syarikat terbabit gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober lalu. – UTUSAN