KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 8,339 laporan dan aduan atau 27 kes sehari berkaitan buli siber dari tempoh Januari hingga 1 November lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 10 kes sehari sebelum ini.
Kata beliau, ini sekali gus menyaksikan kepentingan penguatkuasaan pelesenan media sosial dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.
“Dalam plaftorm Facebook tahun lepas, jumlah penipuan dalam talian yang dilaporkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjumlah RM432 juta, kerugian kepada rakyat Malaysia.
“Bagi jenayah seksual terutama terhadap kanak-kanak melibatkan media sosial, jumlah kes pada 2023 adalah 525 kes .
“Sebanyak 815 permohonan menurunkan kandungan telah dibuat berkaitan kandungan child sexual abuse material atau CSAM (bahan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak) dalam media sosial setakat 1 November 2024,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang menyatakan adakah langkah kerajaan untuk mengadakan peraturan supaya firma-firma media sosial mulai Januari 2025 memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia tidak akan menjejaskan peluang dan kebebasan rakyat negara ini mendapat akses luas kepada kehidupan moden yang banyak bergantung kepada teknologi digital.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, keperluan pelesenan di bawah Akta 588 ini bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.
Kata beliau, Ini termasuk menangani secara efektif kandungan mudarat dengan memperkukuhkan sistem dan proses mereka dalam mengurangkan jenayah dalam talian seperti penipuan dalam talian, jenayah seksual dan buli siber.
“Di bawah Akta 588, terdapat langkah-langkah perlindungan yang kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat.
“Pelaksanaan kerangka pelesenan di bawah Akta 588 ini bertujuan menangani isu-isu jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi dan pembangunan,” katanya. – UTUSAN