PASIR MAS: Polis Kelantan menegaskan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini tetap kukuh walaupun kesemua 27 buah pos kawalan milik Pasukan Gerakan Am (PGA) ditenggelami banjir ekoran hujan lebat dan limpahan air Sungai Golok.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, anggota PGA tetap melakukan rondaan rutin seperti biasa menggunakan bot bagi memastikan keselamatan sempadan negara di tahap terbaik.
“Walaupun pos ditenggelami air dan ada anggota bertugas berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), namun penugasan di sempadan tetap diutamakan.
“Rondaan pencegahan tetap diteruskan seperti biasa,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Balai Polis Repek, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, selain itu 10 balai polis di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat terpaksa ditutup selepas ditenggelami banjir.
Katanya, daripada jumlah itu enam buah balai polis terjejas terletak di Pasir Mas dan masing-masing dua di Kota Bharu serta Tumpat.
“Walaupun ditenggelami banjir, namun anggota tetap menjalankan tugas pencegahan jenayah bagi memastikan penempatan mangsa banjir selamat,” ujarnya.-UTUSAN