AMPANG JAYA: Kerajaan meluluskan 24,570 kuota tambahan pekerja asing kepada 143 syarikat dalam sektor perladangan terutama industri kelapa sawit bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kuota tambahan itu tidak melibatkan sektor-sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan yang masih kekal dibekukan buat masa ini.
“Kuota tersebut terbuka kepada pekerja asing dari mana-mana negara termasuk Indonesia yang dikenal pasti mempunyai ramai tenaga kerja berpengalaman dalam sektor perladangan.
“Bagaimanapun, semua pemain industri perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) termasuk menyediakan tempat tinggal yang sesuai dan memenuhi keperluan Kementerian Sumber Manusia (KSM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembukaan rasmi cawangan Sambal Bakar on Fire yang pertama di negara ini di sini, hari ini.
Selain itu, Johari berkata, proses pengambilan pekerja asing hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan kementerian.
Kata beliau, dalam konteks hubungan dengan Indonesia, kerajaan menyatakan komitmen untuk menghormati peraturan yang ditetapkan oleh negara tersebut.
“Sebarang usaha membawa masuk pekerja secara tidak sah adalah melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai isu 100,000 pembantu rumah Indonesia yang bekerja secara haram di Malaysia, Johari berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan Program Rekalibrasi untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kerajaan turut mengingatkan kerjasama dua hala perlu berdasarkan saling menghormati dan mematuhi peraturan kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN