KOTA KINABALU: Seramai 227 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diusir keluar melalui laut dari Sabah, semalam.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI yang berusia antara dua bulan hingga 82 tahun itu dihantar pulang ke negara asal secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka Indonesia dengan menaiki kapal Purnama Express dan Labuan Express.
Beliau berkata, PATI yang dihantar pulang kali ini terdiri daripada 107 tahanan lelaki, 71 perempuan dan 49 tahanan kanak-kanak yang berusia antara dua hingga 12 tahun.
“Program penghantaran pulang ini melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu (KJRI).
“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, program pemindahan PATI warga Indonesia yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah tertakluk dengan KJRI dalam mempercepatkan proses dokumentasi bagi tahanan seterusnya mengeluarkan dokumen perjalanan (SPLP-Sijil Perjalanan Laksana Pasport). – UTUSAN