KUALA TERENGGANU: Seramai 22 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guntong dekat Setiu mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan sarapan pagi di sebuah resort di daerah itu, semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, pelajar-pelajar tersebut mengalami simptom seperti muntah dan sakit perut akibat keracunan itu.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, seramai 48 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu berada di resort tersebut untuk mengikuti Kem Anakku Cemerlang.
“Pada pukul 8 pagi semalam, kesemua pelajar itu telah bersarapan pagi secara layan diri yang disediakan oleh pengusaha dewan makan di resort berkenaan.
“Bagaimanapun sejam kemudian, lapan orang pelajar telah mengadu sakit perut dan muntah-muntah. Susulan itu, pelajar yang sakit telah dibawa ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jelani berkata, jumlah murid yang mengadu sakit perut telah bertambah seramai dua orang dan mereka telah dihantar ke Klinik Kesihatan Permaisuri oleh guru terlibat.
“Susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Setiu telah hadir ke resort itu untuk bertemu dengan semua peserta kem SPM bagi mendapatkan maklumat berhubung kes keracunan berkenaan.
“Tidak lama kemudian, 12 lagi pelajar turut mengalami simptom keracunan dan setakat pukul 2 petang semalam, seramai 10 pelajar telah menerima rawatan di hospital.
“Hanya seorang pelajar telah dimasukkan ke wad untuk rawatan susulan manakala sembilan orang lagi telah dibenarkan pulang,” katanya.
Katanya, sampel makanan telah diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah Setiu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca keracunan tersebut.– UTUSAN