GOMBAK: Jenazah maestro muzik legenda Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pukul 11.15 pagi tadi.
Pengebumian Ahmad Nawab atau Ahmad Khan Nawab Khan, 92, berjalan lancar diiringi kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, rakan selebriti dan peminat.
Turut dilihat hadir memberikan memberikan penghormatan terakhir ialah Datuk Yusuf Haslam, mHetty Koes Endang, Datuk Chuari Selamat, Ramlah Ram dan Adlin Aman Ramli.
Terdahulu, jenazah dimandi dan disolatkan di Surau Al-Tarbiyyah Al-Islamiah, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Allahyarham Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang semalam.
Sepanjang hayatnya, beliau telah menggubah 2,000 lagu sejak memulakan kerjaya muzik pada usia 16 tahun.
Beliau dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik. -UTUSAN