KOTA BHARU: Polis Kelantan menyelesaikan 20 kes pecah kedai serbaneka di empat buah daerah di negeri ini selepas menahan dua individu yang merupakan bekas banduan dalam serbuan di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia 33 dan 34 tahun itu merupakan bekas banduan dan masing-masing mempunyai rekod lampau.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, suspek memecah masuk premis menggunakan gas oxy yang kebiasaannya digunakan dalam industri berat atau di bengkel-bengkel.
“Sebaik sahaja berjaya masuk ke dalam premis tersebut, mereka mencari peti besi untuk mengambil wang tunai.
“Mereka dipercayai menggunakan hasil rompakan itu untuk membeli dadah jenis syabu memandangkan kedua-dua suspek terlibat positif dadah methamphetamine,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek itu terlibat dengan kegiatan merompak 20 buah kedai serbaneka di Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Jeli.
Katanya, suspek dipercayai menaiki sebuah kereta dengan membawa gas oxy sebelum memecah kedai-kedai tersebut.
“Selain itu, kita turut merampas pelbagai barangan seperti gergaji elektrik, mesin penyembur air, rokok dan wang tunai dengan nilai keseluruhan kerugian mencecah RM100,000,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusoff berkata, pihaknya kini giat memburu ketua kumpulan berkenaan yang didakwa bernama Muhammad Amir Izuddin Mohd. Izani, 26.
“Kita percaya penahanan kedua-dua suspek ini berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes rompakan kedai serbaneka di empat buah daerah,” ujarnya. – UTUSAN