20 ajaran sesat dalam pemantauan Jakim, SB

20 ajaran sesat dalam pemantauan Jakim, SB

MOHD NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20 ajaran sesat kini dalam pemantauan secara khusus oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Kerjasama Jabatan Agama Islam di negeri-negeri dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan menyedari bahawa ajaran sesat atau isu-isu ancaman akidah masih lagi wujud walaupun telah difatwakan dan dikenakan tindakan. 

Katanya, pada masa ini, kumpulan dan individu yang membawa fahaman menyeleweng itu dikesan banyak menggerakkan dakyahnya melalui media sosial. 

“Bagi melaksanakan pendekatan yang lebih tersusun untuk membendung penularan ajaran sesat ini, Jakim telah memperkasa penyelarasan tindakan melalui jawatankuasa dengan Jabatan Agama Islam Negeri dan juga agensi berkaitan di peringkat Persekutuan antaranya Jawatankuasa Pemandu Ajaran Sesat (JAPAS), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (JAPPIS) dan Panel Pakar Akidah (PPA). 

“Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996 telah memutuskan pandangan hukum supaya umat Islam di negara ini berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal-Jamaah sama ada dari segi akidah, syariah mahu pun akhlak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan yang diajukan oleh Sabri Azit (PN – Jerai) yang memintanya menyatakan apakah langkah pengawalan ajaran sesat dan berapa jumlah ajaran sesat di negara ini.

Mohd. Na’im berkata, dalam rangka menangani dan membendung penularan ajaran sesat, Jakim telah mengambil beberapa pendekatan antaranya, memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) melalui jaringan dan kolaborasi dalam aspek penyelidikan, siasatan serta pengesanan terhadap ajaran dan doktrin meragukan atau disyaki menyeleweng.

Katanya, Jakim juga mendapatkan pandangan daripada PPA yang terdiri daripada tenaga pakar dalam bidang akidah dan aliran pemikiran dalam memberi nasihat terhadap isu-isu membabitkan akidah umat Islam di Malaysia.

“Jakim juga melaksanakan kajian komprehensif sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Mengesyorkan kepada Jabatan Mufti Negeri-Negeri agar mengeluarkan fatwa mengenai ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI.

“Mengaktifkan platform perbincangan melalui JAPAS dan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan serta Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia (MKJ) bagi mengemaskini maklumat dan pelan Tindakan,” katanya.

Beliau berkata, Jakim turut menjalankan Kerjasama dengan rakan strategik di peringkat negeri dan persekutuan seperti JAIN, Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan lain-lain.

“Mereka juga mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup Bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan.

“Pada masa sama, mempergiatkan usaha dan memanfaatkan platform media baharu dan dalam talian dengan menganjurkan sesi-sesi diskusi ilmiah, penjelasan dan perkongsian ilmu untuk memaham serta menyedarkan masyarakat akan kewujudan aliran pemikiran, ajaran serta doktrin yang menyeleweng tersebut,” katanya. – y

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya