2.6 juta pelajar tebus Baucar Buku Madani

2.6 juta pelajar tebus Baucar Buku Madani

WONG Kah Woh meluncurkan Projek CSR berteraskan ESG oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Seramai 2.6 juta murid dan pelajar lepasan menengah di seluruh negara sudah membuat penebusan Baucar Buku Madani setakat hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu meliputi 71 peratus atau kira-kira RM203.28 juta nilai penebusan baucar daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM284 juta.

“Setelah lima bulan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan penebusan baucar buku dan tempoh penebusan masih boleh dilaksanakan sebelum 31 Disember ini. Kita yakin menjelang akhir tahun keseluruhan penebusan dibuat anak-anak.

“KPM bersama Perbadanan Kota Buku dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pejabat pendidikan daerah termasuk sekolah masing-masing giat berusaha untuk memastikan penebusan tinggi supaya dapat mencapai satu prestasi baik dalam penebusan baucar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluncurkan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berteraskan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) di sini hari ini.

Baucar Buku Madani diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu.

Baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun 4 ke atas, manakala RM100 diberikan kepada murid sekolah menengah, pelajar kolej vokasional, tingkatan enam, matrikulasi dan Insitut Pendidikan Guru (IPGM).

Dalam pada itu, Kah Who berkata, KPM menggariskan beberapa pendekatan dan teras utama dalam usaha memastikan sektor pendidikan negara dapar berkembang selaras teknologi dan digital.

Katanya, usaha ini termasuk memantapkan infrastruktur dan kesedaran dalam mengoptimumkan Pembangunan teknologi dan digital menerusi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Sistem pembelajaran digital, DELIMa sebagai contoh sudah mula digunakan pihak sekolah dan murid sejak 2019 dan sepanjang tempoh ini  sejumlah 789 judul buku teks dimuat naik secara digital.

“Pada masa sama, sejumlah 12,000 bahan perkongsian pembelajaran juga dimuat naik oleh guru-guru kita. Ini trend penting sekiranya guru mempunyai bahan pengajaran baik boleh muat naik ke DELIMa dan pihak lain boleh mengambil sebagai proses PdP masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya