18 kakitangan Imigresen KLIA dibuang kerja sejak 2021

18 kakitangan Imigresen KLIA dibuang kerja sejak 2021

IBRAHIM Mohd Yusof menunjukkan statistik waktu menunggu ketibaan di KLIA pada sesi libat urus bersama media di KLIA Terminal 1, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 18 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikenakan tindakan buang kerja bagi tempoh antara 2021 hingga kini.

Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ibrahim Mohd Yusof berkata, kesemua mereka itu didapati melakukan pelbagai kesalahan jenayah termasuk rasuah dan dadah serta jenayah-jenayah lain.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah kompromi dalam kes-kes jenayah berkenaan terutama membabitkan anggota JIM.

“Selain tindakan buang kerja, ada kakitangan yang ditahan gaji serta ditangguh kenaikan gaji dan pangkat,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra JIM KLIA bersama pengamal media di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan KLIA bersih dari segala aktiviti jenayah termasuk rasuah.

Ibrahim berkata, pihaknya juga sedaya upaya akan menutup segala ruang jenayah yang ada terutama membabitkan kakitangan dan pegawai JIM sendiri.

Ditanya mengenai perkembangan kes ‘counter setting’ di KLIA baru-baru ini, Ibrahim berkata, beliau tidak mempunyai banyak maklumat mengenai kes itu kerana ia kini di bawah siasatan SPRM.

Katanya, beliau difahamkan SPRM Selangor sedang dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan siasatan kes itu.

“Kita berharap siasatan kes itu dapat dipercepatkan supaya mudah bagi JIM melakukan tindakan susulan,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengatasi isu integriti di KLIA termasuk memberi taklimat kepada pegawai dan anggota sebelum bertugas serta memperkukuhkan sistem pengawasan dan pemantauan.

Jelasnya lagi, pihaknya juga melarang anggota dan pegawai membawa telefon bimbit dan jam tangan pintar ketika bertugas selain melarang membawa wang tunai melebihi RM100 ketika bertugas.

“Larangan dan arahan ini bukan perkara baharu, malah telah dikuatkuasakan sejak 2014 lagi menerusi Arahan Pentadbiran Bil. 3 Tahun 2014,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya