BALIK PULAU : Seramai 18 individu termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merusuh di Bayan Lepas, minggu lalu.
Sepuluh daripada tertuduh iaitu Khairul Ezham Khairul Eddy, 20; Muhammad Syafril Haikal Mohd. Fazli, 20; Muhammad Aliff Aliman Mazlan, 21; Mohammad Alif Ikhram Mohd. Hashim, 23; Ahmad Afifuddin Selamat, 25; Muhammad Asrul Nazrul Haizam, 22; Mohd. Syafik Abdullah, 20; Nornikman Noor Din, 33; Nor Azira Zaidi, 40 dan Ahmad Ameeruddin Selamat, 22, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Baki lapan tertuduh iaitu Mohamed Ammar Mohamed Ghani, Muhammad Aiman Ibrahim, Aszaifudin Hamid Mohaideen, Muhammad Nur Zuhairi Noordin, Muhammad Adzlie Hakim Muhammad Nasir, Muhamad Fahrien Addenan, Alyssa Sofieya Mazlan, yang kesemuanya berusia 19 tahun bersama seorang lagi tertuduh, Muhammad Nor Isma Haikal Nor Ismadi, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh adalah ahli dalam suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama perhimpunan iaitu bergaduh dan melakukan kesalahan merusuh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Queens Water Front Q1, Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, kira-kira pukul 2.30 pagi pada 23 November lalu.
Atas kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama iaitu dipenjara selama dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edric Loo.
Terdahulu, ketika prosiding, Jin Hong menawarkan jaminan yang berbentuk pengajaran terhadap kesemua tertuduh memandangkan kes tersebut tidak sepatutnya berlaku di tempat awam termasuk di kawasan residen atau berpenduduk.
Mahkamah kemudiannya memutuskan untuk mengenakan denda sebanyak RM800 kepada setiap tertuduh yang mengaku bersalah manakala tertuduh yang tidak mengaku bersalah pula dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM1,500 bersama seorang penjamin.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 17 individu termasuk dua wanita telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada selisih faham antara pasangan kekasih, awal pagi Sabtu lalu.-UTUSAN