17,646 remaja hamil anak luar nikah lima tahun lalu

17,646 remaja hamil anak luar nikah lima tahun lalu

Nancy Shukri
NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Seramai 44,263 remaja hamil direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lalu dengan 17,646 kes hamil anak luar nikah.   

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, masyarakat perlu berhati-hati dalam menilai isu kehamilan remaja kerana bukan semua remaja hamil  berlaku tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu dan daripada jumlah itu seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil.

“Sebab itu, kami kena berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung isu kehamilan remaja kerana sebahagian besarnya berlaku kepada remaja yang sudah bernikah secara sah menerusi perkahwinan mengikut adat.

“Sebab itu, kita tidak mahu ia menjadi isu dalam negara, namun pelbagai usaha diambil untuk menanganinya,” katanya pada Forum Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di Yayasan Sarawak anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPLN) di sini  hari ini.

Menurut Nancy, program dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) dan rakan strategik penganjur iaitu Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memberi tumpuan kepada ibu bapa kerana cabaran utama dalam isu itu membabitkan remaja yang masih bersekolah.

“Sekolah lebih banyak memberi tumpuan kepada akademik, sebab itu kita menganjurkan program kepada ibu bapa dalam usaha menangani isu ini.

“Kebanyakan ibu bapa malu untuk mendedahkan jika berlaku kehamilan kalangan anak remaja kerana bimbang dengan stigma masyarakat,” katanya.

Antara objektif pelaksanaan forum itu katanya adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada ibu bapa.

“Ia diharap dapat membantu dalam proses kemandirian dan sosialisasi remaja dan penganjuran forum ini juga dilihat sebagai satu medium yang terbaik dalam membincangkan isu-isu berkaitan pendidikan reproduktif dan sosial remaja.

“Perbincangan mengenai topik ini seharusnya tidak lagi dianggap sensitif, kerana kebimbangan ibu bapa atau masyarakat tentang maklumat kesihatan reproduktif, hanya akan menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan remaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya