17,216 anggota, pegawai dan aset PDRM sedia hadapi tengkujuh - Utusan Malaysia

17,216 anggota, pegawai dan aset PDRM sedia hadapi tengkujuh

Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga menghadapi bencana ketika Monsun Timur Laut dengan menggerakkan kekuatan seramai 17,216 pegawai dan anggotanya di seluruh negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, aset-aset berkenaan merangkumi 570 bot banjir; 460 lori; 905 kereta pacuan empat roda; 317 van dan 17 unit jet ski dan lapan pesawat udara serta 7,659 jaket keselamatan mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana.

Katanya, bagi membantu PDRM di peringkat kontinjen, pihaknya turut membahagikan pasukan bantuan tindak balas mengikut pecahan zon.

“Bagi zon utara, ia di bawah kawasan tanggungjawab Briged Utara yang meliputi kontinjen Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Zon tengah membabitkan Briged Tengah Pasukan Gerakan (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Wilayah 2 Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pengkalan Gerakan Udara Pengkalan Subang yang meliputi Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi zon Timur pula, menurut Mohamad Suzrin, ia membabitkan Briged Tenggara PGA, Unit 6 PSP dan Wilayah Tiga Pasukan Polis Marin (PPM) yang meliputi kontinjen Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Jelas beliau, untuk zon Sabah, Briged Sabah PGA, Wilayah 4 PPM, PGU Pengkalan Sabah akan digerakkan menghadapi tengkujuh.

“Manakala di Sarawak membabitkan Briged Sarawak PGA, Wilayah 5 PPM Dan PGU Pengkalan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga telah mengadakan mesyuarat kolaborasi bersama agensi tindak balas antaranya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Turut terlibat Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Meteorologi Malaysia, Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain-lain agensi telah diadakan di peringkat daerah dan kontinjen:

“Nadma juga sebagai peneraju utama pengurusan dan pengurangan risiko bencana telah memberikan kerjasama yang jitu dan komited bagi menghadapi tengkujuh tahun ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya