169,691 penagih dadah dikesan, Kelantan rekod paling tinggi

169,691 penagih dadah dikesan, Kelantan rekod paling tinggi

RUSLIN Jusoh (depan tengah) bergambar bersama para pengamal media pada program sembang santai bersama media di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah penagih dadah direkodkan di negara ini bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencatatkan sebanyak 169,691 orang sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 40,780 bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 162,360 merupakan individu lelaki, menakala penagih wanita mencatatkan seramai 7,331 orang.

“Selain itu, dadah jenis sintetik menjadi penyumbang angka paling banyak iaitu sebanyak 119,410 orang bagi tempoh sama.

“Jenis dadah sintetik ini adalah dalam kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS) yang dihasilkan secara pemprosesan campuran bahan kimia seperti syabu dan batu dalam bentuk kristal,” katanya pada sesi Sembang Santai Ketua Pengarah AADK Bersama Media di sini hari ini.

Katanya, dadah dalam bentuk tablet pula melibatkan dadah seperti pil kuda, ecstacy dan pil yaba.

“Dadah jenis Opiat pula mencatatkan angka kedua tertinggi dengan catatan kes sebanyak 38,854 orang diikuti ganja seramai 6,750 orang dan pil psikotropik (2,114),” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Kelantan mencatatkan negeri paling ramai penagih dadah bagi setiap 100,000 penduduk setakat September 2024 dengan jumlah 980 orang.

“Data itu disusuli dengan Terengganu (884 orang), Kedah (790 orang), Pahang (704 orang), Pulau Pinang (700 orang) dan Melaka (664 orang),” jelasnya.

Katanya, bagi kategori umur pula, belia berusia antara 19 hingga 39 tahun mencatatkan angka paling tinggi iaitu sebanyak 98,977 kes.

Ia diikuti golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas sebanyak 69,937 kes.

“Bagi gololongan remaja yang berusia antara 13 hingga 18 tahun pula mencatatkan angka sebanyak 776 kes, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun pula mencatatkan satu kes bagi tempoh sehingga September 2024,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN