15,000 penduduk di Chukai dijangka terjejas banjir - Utusan Malaysia

15,000 penduduk di Chukai dijangka terjejas banjir

MOHD. Khari Khairi Khairudin (kiri) meninjau keadaan banjir di sekitar Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong, Kemaman, petang ini. - UTUSAN/NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kira-kira 15,000 penduduk di Chukai, di sini, dijangka terjejas banjir sekiranya berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat dalam tempoh yang sama, pada Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd, Khairi
Khairudin berkata, bagaimanapun situasi itu pernah dilalui sebelum ini dan di daerah ini terdapat sebanyak 82 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung hingga 40,000 mangsa banjir.

“Jika berlaku hujan yang sangat lebat yang menyebabkan kenaikan paras sungai utama dan berlaku fenomena air pasang, situasi ini boleh menyumbang banjir berlaku.

“Bagaimanapun, dengan adanya jumlah PPS yang sedia diaktifkan pada bila-bila masa itu, saya rasa tiada masalah tetapi dengan syarat penduduk perlu berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau situasi banjir di Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong, petang ini.

Mohd, Khairi berkata, penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko tinggi untuk banjir perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa dan segera berpindah jika perlu.

“Kita bimbang kalau ada mangsa banjir yang enggan berpindah dan ada yang berpindah saat akhir terutamanya pada waktu malam yang menyukarkan operasi pemindahan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Khairi berkata, situasi banjir di Kemaman dan di negeri ini berada dalam keadaan terkawal.

“Kalau di Kemaman, jika hujan turut dengan lebat seperti semalam, memang berisiko berlaku banjir,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya