KUALA LUMPUR: Sebanyak 149 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk didakwa di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tempoh Januari 2021 hingga September 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah tersebut berdasarkan data perangkaan daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah kesalahan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian jika disabitkan dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.
Jelasnya, seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula memperuntukkan kesalahan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan menyebabkan kecederaan jika disabitkan kesalahan dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000.
“Bagi kes kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk, PDRM bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan trafik dan menjalankan siasatan dengan telus serta adil kepada semua pihak terlibat.
“Ini demi memastikan mangsa dan waris mangsa mendapat pembelaan sewajarnya serta pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Dr. Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang memintanya menyatakan berapa jumlah kes yang melibatkan pemandu mabuk yang didakwa bagi tempoh 2021 sehingga 2024.