131,386 kes jenayah komersial babit kerugian RM8.03 bilion sejak 2021 hingga September lalu

131,386 kes jenayah komersial babit kerugian RM8.03 bilion sejak 2021 hingga September lalu

Tan Sri Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 131,386 kes jenayah komersial dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2021 hingga September lalu dengan kerugian kira-kira RM8.03 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 102,376 kes direkodkan sejak 2021 hingga 2023 dengan kerugian RM6.05 bilion manakala 29,010 kes lagi dengan kerugian kira-kira RM1.98 bilion untuk tempoh sembilan bulan tahun ini. 

Katanya, kes pada tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 4.6 peratus bersamaan 1,412 kes berbanding 2023 iaitu 30,422 kes.

“Bagaimanapun jumlah kerugian meningkat sebanyak 22.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Sebanyak 24,671 jenayah penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM1.04 bilion dilaporkan berlaku dengan enam modus operandi utama membabitkan jenayah telekomunikasi, e-kewangan, e-dagang, Love Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman, hari ini. 

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, dari aspek tindakan pembanterasan, seramai 18,506 individu ditahan menerusi 17,661 operasi pelbagai kesalahan jenayah komersial sejak Januari hingga September lalu. 

Jelas beliau, bagi tempoh sama, sebanyak 13,184 kertas siasatan berjaya dibawa ke peringkat pertuduhan. 

“Jabatan ini turut melaksanakan 7,267 program pencegahan jenayah di seluruh negara, meliputi pameran, ceramah, kolaborasi media, dan aktiviti “meet & greet” untuk meningkatkan kesedaran awam agar mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah,” ujar beliau .

Menurut Razarudin, pindaan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai lalu dilihat dapat memperkasa usaha serta tindakan siasatan kes-kes jenayah komersial.

“Pindaan ini adalah merangkumi penambahan Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D Kanun Keseksaan dan Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah.

“Pindaan bagi Kanun Keseksaan adalah berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan akaun keldai termasuklah memiliki, mengawal menyerahkan dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang instrumen pembayaran. 

“Manakala pindaan bagi Kanun Tatacara Jenayah bakal memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang daripada sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan.

“Malah, hukuman yang lebih tegas terhadap kesalahan penggunaan akaun keldai juga diyakini akan membantu mengurangkan jenayah komersial,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya