13 bukit jadi lokasi PPS jika Gua Musang dilanda banjir besar

13 bukit jadi lokasi PPS jika Gua Musang dilanda banjir besar

NIK Raisnan Daud (dua dari kiri) melihat bot yang akan digunakan sekiranya berlaku banjir besar di pekarangan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Kelantan. FOTO: AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebanyak 13 bukit di daerah ini dikenal pasti sebagai lokasi perpindahan mangsa, antaranya Kampung Batu Papan, Kampung Lebir, Kampung Pulau Setelu, Kampung Limau Kasturi dan Felda Aring, sekiranya pusat pemindahan sementara (PPS), tenggelam akibat banjir besar. 

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, pendekatan awal dengan mengenal pasti 13 bukit berkenaan sebagai persediaan supaya penduduk tidak berdepan dengan kesukaran seperti kejadian bah kuning pada 2014 yang ketika itu ada penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bukit dan terputus bekalan makanan.

“Pelbagai kelengkapan akan turut disediakan untuk mangsa seperti bekalan makanan, peralatan memasak, lampu suluh, tali dan khemah sekiranya terpaksa berpindah ke atas bukit,” katanya ditemui di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini.

Nik Raisnan yang juga Ketua Jajahan Gua Musang memberitahu, pihaknya akan membuat membuat hebahan ketika solat Jumaat dengan bantuan penggawa dan penghul, mengenai tindakan perlu dilakukan penduduk sekiranya menghadapi kejadian banjir luar jangka, malah PKOB Gua Musang turut mengarahkan semua masjid di kawasan bandar dan mukim, melakukan solat hajat supaya banjir besar tidak berlaku.

Tegasnya, persediaan bermula sejak bulan lalu antaranya dengan mengajurkan program simulasi banjir melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Selain bot daripada pelbagai agensi, sebanyak 25 bot persendirian sudah didaftar sebagai persediaan musim tengkujuh di daerah ini. Saya turut menggesa penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai untuk sentiasa berwaspada dan peka arahan pihak berkuasa dalam menghadapi musim banjir,” katanya.

Terdahulu, terdapat ramalan mengatakan Kelantan bakal berdepan banjir besar tahun ini selepas genap 10 tahun bencana bah kuning pada 2014. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya