Pelbagai program sempena FLM 2024
PETALING JAYA: Seramai 12,000 kanak-kanak dijangka mengambil bahagian dalam program Nuri Pecah Tabung yang menyasarkan pelajar tujuh hingga 12 tahun daripada 14 buah sekolah di seluruh negara.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, program itu bertujuan memberi tumpuan kepada pendidikan pelajar mengenai konsep kewangan asas, membina tabiat kewangan yang baik dan mempersiapkan mereka untuk membuat keputusan kewangan pada masa hadapan, di samping menggalakkan kebebasan kewangan.
“Kempen ini sebahagian daripada program diadakan bersempena Bulan Literasi Kewangan 2024 (FLM 2024). Inisiatif bermula September lalu hingga 24 November ini menggalakkan perserta membawa tabung mereka,” katanya.
Bertemakan ‘Bijak Wang, Hidup Sejahtera’, program tahunan itu dianjurkan Jaringan Pendidikan Kewangan iaitu platform antara agensi yang dipengerusikan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).
FLM berlangsung di Dewan Yayasan Islam Kelantan, Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, Kelantan turut diadakan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu literasi kewangan, terutamanya komuniti yang kurang (underserved) dan tidak (unserved) mendapat perhatian atau liputan perkhidmatan kewangan.
Pada FLM2024 baru-baru ini, Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM408,050.00 bagi membantu 2,208 orang pelajar asnaf daripada 25 buah sekolah di Kota Bharu bersempena FLM2024.
“Bank Rakyat turut mengadakan Hari Deposit secara serentak di semua cawangan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai produk dan akaun deposit.
“Keupayaan untuk menguasai literasi perancangan kewangan dapat membantu individu membangunkan sumber kewangan yang lebih sihat bagi keperluan diri dan keluarga mereka, seterusnya memiliki masa depan yang lebih terjamin,” katanya. – UTUSAN