PETALING JAYA: Sebanyak 12 sungai di Terengganu dan Kelantan kini melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan yang dijangka sehingga Sabtu ini.
Di Terengganu, enam sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya melibatkan Sungai Besut Jambatan Keruak, Sungai Besut Kampung La, Sungai Setiu Kampung Besut, Sungai Tersat Kampung Sekayu, Sungai Telemong Kuala Ping dan Sungai Tebak Jambatan Tebak, Terengganu.
Di Kelantan pula melibatkan Sungai Galas Dabong, Sungai Lanas Air Lanas, Sungai Kelantan Kampung Temangan, Sungai Golok Rantau Panjang, Sungai Melor Jambatan Melor dan Sungai Semerak Pasir Puteh.
Berdasarkan kemaskini publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), 12 sungai tersebut melepasi paras amaran bahaya.
Sungai Besut di Jambatan Keruak kini berada di paras 36.72 meter (bahaya 35.00 meter), Sungai Besut di Kampung La di paras 22.98 meter (bahaya 21.80 meter), Sungai Setiu di Kampung Besut di paras 18.16 meter (bahaya 17.50 meter), Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1) di paras 22.44 meter (bahaya 21.00 meter), Sungai Telemong di Kuala Ping di paras 20.51 meter (bahaya 19.70 meter) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak di paras 18.51 meter (bahaya 18.50 meter).
Sementara itu, di Kelantan, Sungai Galas Dabong berada di paras 38.75 meter (bahaya 38.00 meter), Sungai Lanas Air Lanas di paras 29.74 meter (bahaya 29.50 meter), Sungai Kelantan Kampung Temangan di paras 21.13 meter (bahaya 17.50 meter), Sungai Golok Rantau Panjang di paras 10.57 meter (bahaya 9.0 meter), Sungai Melor Jambatan Melor di paras 9.87 meter (bahaya 9.0 meter) dan Sungai Semerak Pasir Puteh di paras 3.37 meter (bahaya 3.0 meter).
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut yang telah bermula dari 5 Nov lepas hingga Mac 2025 dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. – UTUSAN