103,590 saman tertunggak bernilai RM9.1 juta diselesaikan

103,590 saman tertunggak bernilai RM9.1 juta diselesaikan

YUSRI Hassan Basri (kiri) beramah mesra bersama orang ramai yang ingin membayar saman dengan tawaran diskaun sehingga 60 peratus ke atas saman trafik terpilih di kaunter khas bayaran kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 103,590 saman bernilai RM9.1 juta dijelaskan dalam tempoh tiga hari tawaran diskaun 60 peratus sempena Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 bermula 22 November sehingga semalam.

Jumlah berkenaan berjaya diperoleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman selepas kehadiran 32,500 orang menunaikan tanggungjawab menyelesaikan saman tertunggak mereka.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, JSPT tidak menetapkan sasaran bagi penyelesaian saman namun berbangga dengan kehadiran orang ramai.

Ini kerana, kata beliau, jumlah kutipan saman bukan sebagai keutamaan sebaliknya berbangga dengan jumlah penyelesaian saman yang tinggi.

“Ini jelas menunjukkan kesedaran dan peranan orang ramai selain penyelesaian melalui platform secara dalam talian dan tanpa tunai (cashless).

“Kesemua kutipan saman berkenaan diperoleh melalui saluran bayaran saman yang disediakan antaranya kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tunai dan E-Payment selain voucher yang diselesaikan melalui portan dan aplikasi MyBayar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, saman-saman PDRM yang dijelaskan merangkumi kesalahan tertinggi iaitu pandu laju, abai isyarat dan halangan lalulintas.

Beliau berkata, JSPT juga dalam kajian mengadakan program pengurangan saman di seluruh negara secara tanpa tunai melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM di samping meningkatkan lagi jumlah pengguna berdaftar.

“Kehadiran orang ramai ke rerusia JSPT dengan kemudahan infrastruktur yang selesa disediakan melalui kolaborasi bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan urusetia Madani memberi sambutan menggalakkan.

“Sepanjang tempoh itu, orang ramai berpeluang mendapat maklumat terkini daripada agensi kerajaan lain mengenai pencapaian dua tahun Madani,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai tidak seharusnya menunggu tawaran diskaun diumumkan untuk menjelaskan saman-saman mereka.

Beliau berkata, orang ramai pada setiap masa perlu mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas kerana tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keselamatan semua pengguna terjamin.

“JSPT mengucapkan penghargaan terima kasih dan kerjasama orang ramai yang hadir menyelesaikan saman tertunggak bersempena dua tahun Madani.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan tidak melakukan kesalahan berulang dan mengekalkan sikap pengguna yang berdisiplin tinggi di jalan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya