Rizalman dilantik Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam UM - Utusan Malaysia

Rizalman dilantik Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam UM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pereka Fesyen dan selebriti terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim merekodkan satu lagi pencapaian apabila dia dilantik sebagai sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Pelantikan itu adalah inisiatif universiti tersebut dalam meningkatkan kecemerlangannya sebagai sebuah universiti perdana yang memaju dan menyebarkan ilmu pelbagai bidang.

Rizalman, 53, merakamkan penghargaan kepada pimpinan akademi berkenaan atas peluang untuk beliau untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan aspirasi kepada masyarakat.

Menurut figura tersohor itu, beliau tidak pernah menjangkakan akan diberi peranan sebesar itu daripada sebuah universiti ulung negara.

Ini kerana, kata Rizalman, selama ini, usaha yang beliau gerakkan semata-mata untuk mempersiapkan diri dalam melalui fasa hidup yang seterusnya.

“Kita maklum salah satu tuntutan agama kita adalah ilmu yang mana harus dikongsi dengan orang lain agar pahala kita terus mengalir.

“Kerana itu, saya bersyukur apabila usaha saya selama ini, menelaah dan mendalami ilmu-ilmu agama dan dikongsi dengan seluruh masyarakat dipandang positif oleh Akademi Pengajian Islam, UM,” katanya dalam kenyataan.

Kata Rizalman, tugas baharu di akademi tersebut mencakupi perkongsian ilmu dan pengalaman bukan sahaja dengan pelajar, bahkan, pasukan tenaga pengajar dan pengurusan.

“Seperti yang saya sering sebut, realitinya, kita semua (manusia) datang dari sebuah ‘universiti’ (dunia) yang sama. Dunia adalah universiti kepada kita. Manusia adalah pelajar-pelajarnya dan saya bersyukur kerana dipilih sebagai salah seorang tenaga pembimbing,” jelas beliau lagi.

“Saya sedar saya juga masih banyak kekurangan. Justeru, bersama akademi tersebut saya bukan hanya akan berkongsi ilmu yang saya ada, bahkan saya sendiri akan rebut peluang untuk menimba ilmu dalam ekosistem yang akan saya sertai kelak,” kongsinya.

Sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Rizalman memikul peranan sebagai penasihat kepada fakulti dan jabatan dalam aktiviti program khususnya yang berkaitan dengan penyelidikan dan perundingan seiring dengan hasrat pusat pengajian itu.

Rizalman juga akan ditawarkan memberi syarahan kepakaran dan seminar kepada penuntut-penuntut dan tenaga pengajar di universiti berkenaan.

Untuk rekod, ini merupakan lantikan akademik kedua buat Rizalman selepai sebagai beliau dilantik Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS) Universiti Teknologi Mara pada Ogos tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN