KUALA LUMPUR: Bersyukur perniagaan yang diusahakan kini genap usia 10 tahun, pengasas Naelofar Hijab, Neelofa mengakui dia juga melalui fasa jatuh bangun dalam berniaga.
Menurut pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 35, dia bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya di saat dia bekerja keras memperkukuhkan legasinya itu.
“Ada saja momen ‘goyang’ dalam perniagaan, tetapi perkara itu tidak saya kongsikan kepada umum. Apa yang dipamerkan kebanyakan yang indah.
“Namun ketika di saat goyah itu, keluarga ada bersama dan memberi sokongan. Mungkin tanpa mereka, saya akan terus ‘goyang’. Bersyukur keluarga sama-sama bantu kukuhkan perniagaan.
“Walaupun ada saat-saat ‘goyah’ itu, jualan, permintaan tetap tinggi daripada pelanggan. Kalau pasukan yang roboh, sangat sayang dan rugi,” katanya.
Neelofa berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran kereta sorong bayi edisi terhad Hamilton x Neelofa yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Meskipun tidak menyangka perniagaannya sudah genap satu dekad, pelakon filem Pilot Cafe itu turut menyifatkan impiannya untuk mencipta legasi sendiri sudah menjadi kenyataan.
“Rasa macam mimpi pun ada sebenarnya. Namun, mimpi ini ada dalam doa-doa saya. Saya masih ingat ada satu kejadian ketika sambung belajar di United Kingdom (UK), pelajar dalam kelas gelakkan saya apabila saya beritahu mahu adakan satu legasi sendiri.
“Syukur Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Akhirnya ada legasi sendiri yang kini sudah berusia 10 tahun. Rezeki perniagaan ini bukan saya seorang, tetapi semua yang terlibat dari dahulu hingga kini,” jelasnya.
Neelofa ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang menguruskan Naelofar Hijab, dia memberitahu pernah menjual aset miliknya untuk dijadikan modal perniagaan selain meminta bantuan ahli keluarga.
“Saya bersyukur Naelofar sejak hari pertama ditubuhkan hingga kini sudah 10 tahun, kami tidak pernah ambil duit sesiapa. Syarikat tidak pernah ambil apa-apa geran atau pinjaman, modal sepenuhnya adalah daripada keluarga dan duit sendiri.
“Syarikat saya berkembang adalah hasil usaha yang terlibat. Ada juga beberapa kali diberi peluang untuk diberikan geran, namun tidak terjadi. Modal itu dipusingkan semula hingga sekarang.
“Walaupun dulu saya tiada sumber pendapatan yang kukuh, Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan untuk tubuhkan syarikat.
“Saya dulu terpaksa jual kereta pertama saya, kakak saya Nabila jual rumah dia, saya pinjam duit Ameera. Begitulah kami buat modal untuk tubuhkan syarikat Naelofar,” ujarnya. -UTUSAN