LARUT: Sebanyak 10 buah projek fizikal telah dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Masjid di Ijok di sini dalam Program Kampung Angkat Madani.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, Kampung Masjid dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara dalam program yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan Belanjawan 2024.
“Program ini bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dengan bandar, seterusnya membangunkan sosio ekonomi komuniti setempat.
“Sebanyak 10 buah projek telah siap dilaksanakan di Kampung Masjid di Ijok dengan jumlah peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM2.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Peluncuran Kampung Angkat Madani di Kampung Masjid di Ijok Selama di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
Menurut Wan Suraya, antara 10 projek yang telah siap dilaksanakan di kampung itu ialah pembinaan dewan sekolah, pemasangan lampu solar, menaik taraf kemudahan di masjid serta fasiliti kemudahan awam seperti ruang perniagaan, gelanggang futsal, taman permainan dan sistem saliran.
“Semua fasiliti ini telah pun dimanfaatkan oleh penduduk setempat seperti dewan terbuka di tapak perhimpunan rasmi Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Wan Jaafar yang dapat digunakan oleh murid-murid tanpa gangguan cuaca semasa,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Zolkafly berkata, antara projek yang menarik perhatian ialah usaha menyelenggara sistem saliran dan Sungai Ijok.
Menurutnya, inisiatif itu amat penting kerana ia mampu mengurangkan kejadian banjir yang sering berlaku sehingga menjejaskan aktiviti ekonomi dan sosial penduduk terlibat.
“Risiko banjir yang berlaku sebelum ini bukan sahaja mampu mengancam keselamatan penduduk malahan turut menyebabkan kerosakan harta benda dan usaha yang telah dilakukan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat,” katanya.
Kampung Masjid Ijok merupakan satu daripada empat buah kampung di Perak yang dipillih dalam Program Kampung Angkat Madani. – UTUSAN