KLANG: Seramai 1.35 juta rakyat Malaysia memperoleh manfaat daripada skim perlindungan kesihatan, mySalam sejak diperkenal kerajaan pada 2019 dengan pembayaran tuntutan lebih RM1.05 bilion.
Ketua Skim Perlindungan mySalam, Syuhaib Ithnin berharap lebih ramai kumpulan ekonomi B40 membuat tuntutan melalui skim itu tanpa perlu membuat sebarang bayaran bagi mendapatkan skim perlindungan berkenaan.
“Rakyat yang mahu melihat sama ada layak mendapat perlindungan mySalam boleh berbuat demikian melayari laman sesawang rasmi mySalam.
“Sekiranya layak, individu berkenaan boleh membuat tuntutan di kaunter mySalam di 143 buah hospital kerajaan terpilih di seluruh negara,” katanya pada Karnival Kita Peduli mySalam, semalam.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan seramai 1.5 juta rakyat mendapat perlindungan daripada mySalam menjelang tahun depan.
Menurut Syuhaib, antara faedah yang diterima individu melalui skim itu adalah mendapat RM50 sehari sekiranya mereka ditahan di wad hospital kerajaan selama 14 hari dan dapat mendapat RM8,000 sekali seumur hidup sekiranya disahkan menghidap salah satu daripada 45 penyakit kritikal.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Radhi Khalid berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan pihak mySalam bagi menguar-aurkan manfaat skim itu.
Menurutnya, sebagai pertubuhan yang menghimpunkan artis tanah air, diharapkan promosi yang dibuat Karyawan membuka mata lebih ramai rakyat tuntuk mendapatkan manfaatnya.
“Lebih 3,000 ahli Karyawan sendiri yang terdiri daripada penyanyi, pelakon dan kru di belakang tadbir yang sudah mendapat faedah daripada mySalam.
“Tidak semua ahli Karyawan di dalam kalangan mereka yang hidup mewah. Sehubungan itu, kita juga mahu mempromosikan mySalam kepada ahli,” ujarnya. – UTUSAN