PETALING JAYA: Pelakon, Zul Huzaimy, membuat kutipan sumbangan bagi membantu meringankan beban sahabat, Azlan Komeng yang tidak boleh bekerja selepas terlibat kemalangan.
Menurut Zul atau nama sebenarnya Zul Huzaimy Marzuki, 45, kutipan itu dibuat dalam kalangan rakan dunia permotoran bermula minggu ini.
“Saya ada buat sedikit kutipan untuk membantu Azlan. Derma itu pun hanya dari kenalan rapat sahaja yang kebanyakan mereka budak-budak motor.
“InsyaAllah dalam masa terdekat kita akan pergi melawat Azlan dan serahkan hasil sumbangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Maklum akan keadaan Azlan yang berisiko lumpuh sekiranya tidak mendapat rawatan yang baik, Zul bagaimanapun menjelaskan sahabatnya itu tidak berbual lanjut mengenai keadaan ekonomi keluarga ketika dihubungi.
“Saya ada hubungi Azlan bertanya khabar. Kami hanya berbual tentang keadaan dia sahaja.
“Tiada lebih daripada itu,” jelasnya.
Terdahulu, Azlan atau Muhammad Azlan Kamiran, 48, meluahkan rasa gusarnya terhadap nasib isteri dan anak memandangkan dirinya tidak boleh bekerja selama enam bulan.
Dalam pada itu, Azlan kini menetap di rumah keluarganya di Batu Pahat, Johor,
selepas dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat.
Sebelum ini pada 12 Oktober, Azlan bersama isterinya, Nur Nilam Ortiz dan anak mereka, Adam, 5, terbabit dalam kemalangan di Kuala Lipis ketika dalam perjalanan berniaga di tapak perniagaan festival makanan.
Selain kenderaan miliknya rosak sepenuhnya, pelakon itu mengalami kecederaan parah pada tangan kanan, kedua-dua belah kaki serta tulang pinggul. -UTUSAN