ZPP tidak pernah terima zakat daripada GISBH - Mohamad

ZPP tidak pernah terima zakat daripada GISBH – Mohamad

SEBUAH premis perniagaan milik GISBH yang ditutup di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Zakat Pulau Pinang (ZPP) tidak pernah menerima sebarang jenis bayaran zakat daripada syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, beliau difahamkan bahawa GISBH yang mempunyai beberapa premis perniagaan di sekitar kawasan Seberang Perai dan bahagian pulau sejak hampir 10 tahun lalu tidak pernah membayar zakat kepada ZPP.

“Mengikut maklumat yang kita terima, GISBH tidak pernah membayar zakat kepada ZPP. Mungkin ada yang bayar secara individu, namun, sebagai syarikat tidak ada,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan watikah pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Timur Laut dan Barat Daya di sini, hari ini.

Sebelum ini, polis telah menahan seramai 155 suspek, terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita yang dipercayai pengikut GISBH dalam satu operasi khas di seluruh Semenanjung selain menyelamatkan 186 mangsa, termasuk seorang kanak-kanak yang videonya tular di media sosial kerana dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

Pada 21 September lalu pula, empat premis termasuk dua buah rumah jagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat itu turut diserbu di tiga lokasi berbeza di Seberang Perai.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengerusi ZPP berkata, GISBH yang menjalankan perniagaan makanan juga tidak pernah memohon sijil halal daripada pihak berkuasa agama negeri ini.

MOHAMAD ABDUL HAMID

“Sijil halal tidak pernah dipohon oleh GISBH. Mereka tidak pernah bayar zakat dan tidak pernah pohon sijil halal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sejak 1 Oktober lalu, kira-kira 200 orang anak-anak ahli GISBH berusia dalam lingkungan antara tiga hingga 19 tahun dari Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah ditempatkan di Kompleks Penyayang Sinar Kasih di Nibong Tebal.

“Anak-anak ini ditempatkan di kompleks tersebut untuk proses pembelajaran mereka. Mereka diberi bimbingan agama serta pendedahan tentang subjek psikologi serta subjek-subjek lain di sini.

Sementara itu, katanya, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan bersidang untuk menyelaraskan keputusan berhubung ajaran dalam GISB.

“Selepas keputusan daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dimaklumkan oleh mufti, saya tak dapat makluman lagi. Oleh itu, selepas keputusan daripada MKI, barulah perkara itu akan diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

“Di peringkat Pulau Pinang, fatwa belum diputuskan lagi, tunggu pengumuman daripada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya