Yusoff Rawther didakwa miliki pistol palsu

Yusoff Rawther didakwa miliki pistol palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api tiruan, bulan lalu. 

Mengikut pertuduhan, Muhammed Yusoff Rawther, 31, didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran Kondominium Sanada Kiara, Jalan Bukit Kiara di sini pada pukul 9.25 pagi, 6 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin tempatan.

Peguam bela, Nurmustanir Md. Nor yang mewakili tertuduh memaklumkan pihaknya tidak membuat sebarang rayuan berhubung jaminan kerana Muhammed Yusoff masih dalam reman selepas didakwa atas dakwaan mengedar dadah.

“Tertuduh sebelum ini telah dituduh dalam kes, 12 September lalu di Mahkamah Majistret 4. Untuk makluman pihak mahkamah, tertuduh juga telah memfailkan saman pemula di Mahkamah sivil. Saman pemula tersebut ditetapkan untuk sebutan pada 23 Oktober ini,” kata Nurmustanir.

Majistret S. Mageswary tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 November ini bagi sebutan semula kes itu.

Pada 12 September, Muhammed Yusoff didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 305 gram, di kawasan tempat letak kereta di hadapan surau Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada 6 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup. 

Pada 27 September lalu, Muhammed Yusoff memfailkan saman pemula antaranya memohon perintah isytihar bahawa Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 berhubung `larangan ikat jamin’ bagi kes mengedar dadah sebagai tidak berperlembagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya