Young Tigers terus dirundung malang, catat kekalahan keempat - Utusan Malaysia

Young Tigers terus dirundung malang, catat kekalahan keempat

PEMAIN Great Britain, Alex Chihota dikawal dua pemain Young Tigers Muhammad Norizam dan Osman Harris pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor di Stadium Johor, Taman Daya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan hoki remaja kebangsaan terus dirundung malang apabila merekodkan empat kekalahan berturut-turut apabila tewas 1-2 di tangan Great Britain dalam aksi Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu meranapkan harapan peluang skuad kendalian I. Vikneswaran untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan SOJC edisi ke-12 dalam kedudukan podium.

Skuad hoki remaja kebangsaan yang gagal mengutip sebarang mata dan hanya tinggal satu perlawanan dalam tangan hanya akan bermain untuk perlawanan penentuan kedudukan kelima dan keenam, Sabtu ini.

Pasukan kendalian Jon Bleby mempunyai dua peluang keemasan untuk berada di hadapan, namun sentuhan penyudah yang kurang tajam Monty Neave menyaksikan tiada gol berjaya dihasilkan.

Pada penghujung suku pertama, gawang remaja kebangsaan akhirnya bocor setelah pasukan lawan dihadiahkan penalti dan Kaden Dreysey tidak berdepan tugas sukar menewaskan penjaga gol, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini.

Bersambung suku kedua, Young Tigers tidak menunggu lama untuk memperoleh gol penyamaan menerusi Che Nur Aqilrullah Che Mohd. Khairulzi Anwar hasil gol padang menewaskan penjaga gol, Calum Douglas pada minit ke-17.

Anak buah Vikneswaran berpeluang menambah jaringan apabila memperoleh pukulan sudut penalti, namun pukulan yang disudahkan Nabil Irfan Mohd. Yusof pada minit ke-27 gagal menggegar jaring.

Juara tiga kali itu tampak terdesak untuk memburu kemenangan setelah melancarkan serangan bertali arus ke gawang Malaysia bagi menghidupkan peluang untuk beraksi pada perlawanan akhir.

Great Britain dihadiahkan enam pukulan sudut penalti pada suku ketiga, namun tidak berjaya melepasi benteng ampuh skuad kebangsaan untuk menambah jaringan.

Pada minit ke-53, Neave muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan Great Britain apabila pukulan deras yang dilakukan melepasi kawalan Mohamad Rafaizul.

Dalam pada itu, Australia mempamer kejutan apabila menewaskan juara tiga kali, India 4-0 bagi membolehkan pasukan memanjat tangga ketiga liga.

Daykin Stanger muncul wira pasukan apabila menjaringkan hatrik gol padang dan satu gol lagi disumbangkan oleh Patrick Andrew, manakala  Jonty Elmes muncul wira New Zealand setelah menjaringkan hatrik menerusi dua pukulan sudut penalti dan satu lagi menerusi penalti bagi menjinakkan skuad Jepun 3-1. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya