KOTA BHARU: Seramai 1,600 masyarakat India dari keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh negara menerima sumbangan dari Yayasan Petronas berjumlah RM320,000 sempena sambutan perayaan Deepavali hujung bulan ini.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan bentuk barangan makanan asas bertujuan memberi kegembiraan kepada golongan berkenaan menjelang sambutan perayaan itu.
Menurutnya, pada masa sama ia menjadi tanda kebersamaan seluruh rakyat Malaysia dalam meraikan sambutan tersebut.
“Yayasan Petronas mengambil inisiatif untuk memberi impak jangka panjang melalui program hari perayaan bersama komuniti, dengan hasrat untuk membawa lebih keceriaan kepada semua yang merayakan.
“Besar harapan kita melalui program Yayasan Petronas Memacu Kehidupan Deepavali 2024 ini menjadi fokus untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Memacu Kehidupan Deepavali 2024 di sini malam tadi.
Mohammad Ahmad Shazly memberitahu, program tersebut sejajar dengan sambutan ulang tahun Petronas yang ke 50 tahun tahun ini.
Katanya, lebih menarik tahun ini Yayasan Petronas membawa satu kelainan dengan meraikan perayaan Deepavali bersama warga Kelantan khususnya dari jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Kuala Krai. – UTUSAN