PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yakin pelantikan Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan dapat memacu jabatan itu lebih cemerlang.
Beliau berkata, Sirajuddin dipercayai mampu menggalas amanah ini sekali gus dapat melaksanakan agenda Membangun Malaysia Madani.
Katanya, Sirajuddin berpengalaman luas selama 32 tahun dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia termasuk di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan pernah bertugas sebagai Atase Halal di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia.
“Jabatan ini merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Sirajuddin atas pelantikan ini.
“Pada masa sama, ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Hakimah Mohd. Yusoff atas segala jasa dan sumbangan bakti kepada kerajaan dan pengurusan hal ehwal Islam. Semoga semuanya dicatat sebagai amal soleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan mengenai pelantikan Sirajuddin itu berkuat kuasa hari ini dalam usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda reformasi perkhidmatan awam.
Ia sekali gus mampu memperkukuh Jakim sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia.
Pada masa sama, kerajaan bersetuju melantik Hakimah sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal yang melibatkan koordinasi antara Jakim, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC). – UTUSAN