Yakin 1.4 juta seluruh penjawat awam pilih opsyen SSPA - KPPA

Yakin 1.4 juta seluruh penjawat awam pilih opsyen SSPA – KPPA

WAN Ahmad Dahlan Abdul Aziz (tengah) bersama warga kakitangan penjawat awam menunjukkan borang Opsyen SSSPA yang ditandatangani pada majlis menandatangani Opsyen SSPA di JPA Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) percaya dan yakin keseluruhan 1.4 juta penjawat awam akan menandatangani opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula hari ini hingga 30 November depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pihaknya menjangkakan ramai penjawat awam yang akan menandatangani SSPA ini berdasarkan sesi lihat urus sebelum ini yang dilihat teruja untuk memilih opsyen itu.

“Kalau yang tak nak itu (tidak mahu memilih SSPA) sebenarnya pilihan masing-masing. Boleh nak dan boleh tak nak. Cuma mereka yang tidak berpindah daripada Skim Saraan Malaysia (SSM) ke SSPA, maka tidak akan ada pelarasan gaji.

“Tempoh 40 hari itu adalah untuk memberi ruang kepada penjawat awam untuk meneliti sepenuhnya sebelum mereka memilih untuk berpindah kepada SSPA,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis menandatangani opsyen SSPA di sini, hari ini.

Seramai 75 kakitangan dan pegawai pelbagai jawatan JPA menandatangani opsyen SSPA pada majlis sombolik berkenaan.

Katanya, beliau percaya setiap jabatan dan kementerian mengadakan sesi lihat urus dengan warga masing-masing mengenai SSPA berkenaan yang memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai sistem saraan baharu itu.

Menurutnya, SSPA ini sebenarnya memberi manfaat sangat besar kepada penjawat awam kerana selain pelarasan gaji, ia juga menekankan kepada kepada pembangunan modal insan dan laluan kerjaya.

“Sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, saya tidak teragak-agak untuk menandatangani opsyen ini kerana memang ia memberi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

“Malah, saya juga menyeru kepada semua penjawat awam di luar sana supaya dapat memilih SSPA, di mana ia akan memberikan pulangan dari segi gaji dan juga laluan lebih baik daripada apa yang ada selama ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setiap penjawat juga perlu meningkatkan tahap kompetensi yang baik serta dapat melaksanakan tugas dengan lebih berjaya lagi di masa hadapan.

“Saya juga ingin mengingatkan penjawat awam bahawa dengan kenaikan gaji dan sistem saraan baharu ini, maka tanggungjawab penjawat awam juga telah bertambah di mana kita perlu mempertingkatkan lagi tahap sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya.

Katanya, selepas ini rakyat ingin melihat sejauh mana peningkatan sistem penyampaian dapat dilaksanakan oleh penjawat awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya