Rempuh mati pelajar UiTM Dungun: Wujud elemen jenayah - Ketua Polis Terengganu - Utusan Malaysia

Rempuh mati pelajar UiTM Dungun: Wujud elemen jenayah – Ketua Polis Terengganu

NORIZAN Ismail yang dituduh bunuh tiga pelajar UiTM dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun di Dungun, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Wanita yang merempuh mati tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun didakwa atas kesalahan membunuh kerana wujud elemen jenayah ketika kejadian.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin, berkata, arahan itu dikeluarkan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa wanita berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Menurut beliau, buat masa ini, wanita itu juga dilayan seperti pesalah normal kerana tiada rekod kesihatan lampau mengesahkan ibu kepada tiga orang anak itu mengalami masalah mental.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai digesa tidak membuat spekulasi berhubung pendakwaan terhadap tertuduh yang akan dibawa ke muka pengadilan mengikut proses perundangan.

“Biasanya kejadian (kemalangan) didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 tetap AGC berpendapat tertuduh kes ini didakwa mengikut Seksyen 302 KK.

“Ketika berlakunya rempuhan, tertuduh mungkin dalam keadaan sedar, tidak memberhentikan kenderaan serta menyeret mangsa sejauh lebih 100 meter. Jadi wujud unsur-unsur bunuh.

“Netizen perlu berhenti memberi komen negatif sebaliknya biar mahkamah putuskan keberatan kesalahan dilakukan tertuduh,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Mohd. Khairi menambah, seramai 11 orang saksi termasuk suami tertuduh, Norizan Ismail, 49, iaitu Azhar Ahmad, 53, telah dipanggil memberi keterangan membantu siasatan nahas berkenaan.

Katanya, wanita tersebut didapati tiada lesen memandu namun mengesahkan pihak polis tidak menerima sebarang aduan atau laporan berhubung kacau ganggu oleh tertuduh di Dungun.

Menurut beliau lagi, keluarga tertuduh juga dalam keadaan baik dan tidak diganggu atau menerima ancaman daripada mana-mana pihak sejak kejadian itu susulan kecaman terhadap Norizan.

Hari ini di Mahkamah Majistret Dungun, Norizan didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 302 KK manakala satu dakwaan cubaan membunuh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor selama sebulan sebelum kesnya kembali disebut, bulan depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya