PETALING JAYA: Kumpulan rock popular, Wings, bakal mengadakan konsert jelajah ke 49 penjara terpilih tahun hadapan.
Menurut vokalis Wings, Datuk Awie, projek itu dilaksanakan demi berbakti kepada masyarakat di samping meraikan sambutan 40 tahun kumpulan itu dalam industri seni negara.
“Saya percaya mereka yang di dalam (penjara) tiada seorang pun yang mahu lahir menjadi jahat. Jadi kami anggap ini kesempatan untuk kami berikan sepatah dua, agar mereka tahu bahawa mereka juga turut dicintai golongan artis.
“Mungkin dengan usaha ini akan memberi impak besar kepada mereka. Kita mahu mereka pulih dan menjadi orang baik di luar nanti,” katanya.
Awie ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Rock Warrior Music Festival di Menara PKNS, baru-baru ni.
Dalam pada itu, pihaknya sudah pun mengadakan siri mesyuarat bersama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan kini dalam proses mendapatkan penaja bagi menjayakan projek tersebut.
“Sekarang, kami sedang mencari mana-mana syarikat yang mahu melakukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk melakukan kebajikan bersama-sama kami.
“Wings tidak menjual tiket, jadi kami memang tidak ambil apa-apa keuntungan. Oleh itu, kami perlukan penaja untuk menampung kos sistem bunyi dan pengangkutan sepanjang konsert jelajah.
“Kami akan cuba membantu dari segi pulangan sama ada melalui media sosial atau apa sahaja cara boleh difikirkan. Hal ini boleh dibincangkan,” jelasnya.
Memilih Penjara Kajang sebagai lokasi pertama, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 55, tidak menolak sekiranya diberi peluang berjumpa teman pemuzik di sana seperti Yasin Sulaiman.
“Siapa rakan-rakan yang ada di dalam, kita akan jumpa kalau berkesempatan termasuklah Yasin.
“Saya mahu doakan dia bertabah dengan apa yang terjadi kerana Allah sayang dia. Insya-Allah kawan-kawan yang kita ingat, kita sayang. Cuma kemampuan kita nak membantu itu terhad,” katanya.
Terdahulu pada 22 Ogos, komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah.
Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. -UTUSAN